Perkahwinan Kanak-Kanak: Satu Solusi?
Perkahwinan kanak-kanak bawah umur bukan lagi satu isu yang baru di Malaysia. Amalan ini telah dibudayakan secara meluas, tidak cuma tertakluk kepada masyarakat Islam sahaja, akan tetapi merentasi budaya silam masyarakat dunia yang lain seperti di China, Jepun, India, Babylon, Rom, Athens, Yahudi dan Kristian di Eropah.
Pada dasarnya, pencerahan dan pemahaman berhubung perkahwinan kanak-kanak bawah umur dalam kalangan masyarakat akar umbi amatlah rendah dan membimbangkan. Bebanan ini ditambah dengan kecenderungan dalam mentafsir undang-undang yang berkaitan dengan isu ini secara semborono membawa konflik dalam kalangan masyarakat.
Menurut Akta Undang-undang Keluarga Islam menerusi Seksyen 8 telah menetapkan umur minimum bagi sesebuah ikatan perkahwinan. Sekiranya lelaki berumur kurang daripada lapan belas tahun atau perempuan berumur kurang daripada enam belas tahun, mereka tidak dibenarkan untuk berkahwin kecuali dengan kebenaran Hakim Syarie secara bertulis dengan pertimbangan hal-hal tertentu.
Terbaru, Datuk Nik Mazian Nik Mohamad (Ahli Parlimen Pasir Puteh-PAS) telah mengusulkan cadangan di Parlimen untuk meminda Rang Undang-Undang Kanak-Kanak supaya membenarkan perkahwinan bagi komuniti bawah umur dipendekkan kepada mereka yang berumur minimum 16 tahun atau ke bawah.
Cadangan tersebut telah dikecam hebat oleh Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO). Hal ini demikian kerana, perkahwinan pada usia muda bukan sekadar untuk memenuhi nafsu seks semata-mata. Gadis yang berkahwin pada usia muda seringkali dipulaukan masyarakat dan lebih malang, para gadis ini turut tercicir daripada mendapat peluang pendidikan. Impaknya bukan sekadar kepada gadis tersebut, malahan, besar kemungkinan kepada generasi mendatang.
Apabila gadis tersebut tidak matang dari segi kehidupan sosial dan peluang untuk menimba ilmu terbantut, mereka akan terdedah kepada penderaan mental, fizikal dan seksual. Ini disebabkan kebergantungan hidup kepada golongan suami yang dianggap raja dalam sesebuah ikatan perkahwinan. Dari sisi yang lain pula adalah berkaitan dengan kesihatan seksual gadis tersebut. Umumnya, hubungan kelamin yang melibatkan gadis belum baligh atau masih bawah umur adalah tidak digalakkan memandangkan ia boleh memudaratkan gadis tersebut dari segi fizikal dan emosi atas ketidaksediaannya dari segi fizikal dan mental terhadap hubungan tersebut.
Rentetan daripada itu, perhubungan ini pastinya akan membawa kepada kehamilan yang juga bakal mendatangkan kemudaratan kepada kandungan si ibu. Komplikasi kandungan dan kelahiran adalah punca utama kematian ibu-ibu muda di bawah umur 18 tahun.
Isu sama ada hubungan kelamin tersebut adalah secara rela atau tidak adalah tidak relevan untuk dibangkitkan. Hal ini demikian kerana mereka memasuki alam tersebut dalam usia yang muda tanpa punyai pencerahan dan pemahaman tentang perhubungan kelamin dan akibatnya yang selama ini menjadi tabu dalam kalangan masyarakat kita.
Ditekankan di sini, usul untuk membenarkan perkahwinan bawah umur, sama ada melalui pintu undang-undang sivil mahupun Syariah seharusnya dirujuk kembali kepada pemaknaan kanak-kanak yang termaktub di dalam Artikel 1, Konvensyen Hak Asasi Manusia PBB (United Nations Human Rights Convention):
Kanak-kanak ialah seseorang yang di bawah umur lapan belas tahun selain daripada dalam sesuatu prosiding undang-undang
Dalam konteks di Malaysia khususnya di luar bandar, perkahwinan muda lebih digalakkan atas dasar kemiskinan, keciciran pendidikan, ketidaksamaan gender dalam kalangan masyarakat setempat, kelonggaran sistem perundangan serta kepercayaan etnik kaum tertentu terhadap kaum wanita yang dilihat akan lebih selamat dan terjamin kehidupannya melalui ikatan perkahwinan. Dasar-dasar ini telah membantutkan kesedaran mereka dalam memahami hak-hak mereka dalam perkahwinan serta masyarakat umum.
Semangat ikatan perkahwinan masa kini yang semata-mata untuk mencegah kemungkaran zina nyata sekali tidak relevan malah bagi perkahwinan muda terutama sekali yang melibatkan individu bawah umur hanyalah suatu bentuk perhambaan zaman moden ini. Ditekankan di sini, wanita bukan objek seks yang dicipta untuk memuaskan nafsu lelaki semata-mata. Terdapat pelbagai cara yang boleh ditemukan untuk mendepani masalah sosial dalam kalangan masyarakat, namun bukan dengan mengusulkan pindaan undang-undang tersebut yang dilihat seakan membuka ruang dan peluang kepada gejala pedofilia.
Perlu diakui juga, sistem patriarki merupakan akar kepada permasalahan dalam ketidaksetaraan gender yang turut menjadi punca kepada perkahwinan kanak-kanak selama ini. Sistem ini yang memenangkan kaum lelaki dari kuasa dan sumber seharusnya sudah lama ditinggalkan bagi memperkasa kaum wanita demi mencapai kesetaraan gender dalam masyarakat.[1]
Jika perkahwinan kanak-kanak ini direstui melalui pintu perundangan, ia adalah satu lagi pencabulan hak asasi manusia kerna ia merupakan jalan membobrokkan proses pembentukan dan pembangunan remaja tersebut. Ia turut meletakkan kanak-kanak di dalam situasi yang membingungkan dengan terjejasnya tahap dan kualiti pendidikan mereka yang sama sekali bakal menafikan hak mereka untuk merebut peluang secara aktif dalam sumber tenaga kerja negara kelak.
Senario dan isu yang dipetik ini sudah cukup untuk mengesahkan betapa perkahwinan kanak-kanak itu menggagalkan pembangunan modal insan khususnya untuk individu dan umumnya kepada negara.
Seharusnya, yang wajar diusulkan adalah pendidikan seks. Ia tidak wajar dilihat sebagai tabu dalam masyarakat sebaliknya sebagai alat meningkatkan kesedaran awam terhadap hubungan seks luar ikatan perkahwinan. Kita, di peringkat umbi harus meletakkan keutamaan dalam memberikan pendedahan dan pencerahan kepada anak-anak tentang sistem pembiakan dan juga langkah-langkah pencegahan seksual.
Tulisan ini ditutup dengan penekanan bahawa merestui perkahwinan kanak-kanak bawah umur hanya akan meningkatkan statistik remaja yang mempunyai hubungan seks secara kasual dan sama sekali tidak akan mengurangkan statistik remaja yang melakukan hubungan seks luar nikah.
[1] Dewan Bahasa dan Pustaka (Ed.). (2005). Kamus Dewan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.